Popular Posts

Wednesday, 9 September 2015

NURIN

Salam,

1.    Ingatkah kita tentang kisah gadis kecil berumur 8 tahun Nurin Jazlin yang dilaporkan hilang 
selepas beliau pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya seorang diri pada 20 Ogos 2007 8 tahun lalu? Setelah hilang selama 30 hari, Nurin Jazlin ditemui tidak bernyawa dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di Petaling Jaya, Selangor dengan kesan penderaan seksual yang melampau. Sebelum itu pada tahun 1987 Ang May Hong, tahun 2000 Nursyuhada Burak  dan tahun 2004 Nurul Huda Abdul Ghani juga menerima nasib yang hampir sama.

2.    Baru-baru ini khabar angin bertiup kencang mengatakan kegiatan menculik kanak-kanak beberapa kali cuba dilakukan tetapi nasib masih menyebelahi kanak-kanak dan keluarganya. Seringkali kita dapat melihat bagaimana kecuaian ibubapa atau keluarga mangsa menjadi punca utama kanak-kanak diculik. Jika kita berkesempatan berjalan atau membeli belah di sana, alangkah sedihnya melihat betapa ibubapa atau keluarga mengambil mudah membiarkan anak-anak berlari ke sana sini tanpa perhatian mereka. Tambahan pula sekarang sudah menjadi lumrah apabila ibu bapa lebih memberi tumpuan kepada telefon bimbit atau tablet daripada anak-anak mereka sendiri. Menyesal tak susah jika anak-anak sudah menjadi mangsa. 

3.     Belum pernah ada manusia yang menyesal sebelum berlaku kerana itulah fitrahnya manusia. Tetapi alangkah baiknya jika kita saling ingat-mengingati sesama kita dan jadikan media sosial sebagai wadah untuk kita berusaha membantu agar kejadian serupa dapat dielakkan. 

4.    Penjenayah di mana-mana ditambah situasi ekonomi yang tidak menentu membuat manusia hilang pertimbangan. Wajah dan penampilan penjenayah sukar diramal dan hanya kita yang dapat membantu kanak-kanak daripada jatuh ke dalam perangkap kegilaan penculik. 

5.   Tidak dapat dibayangkan betapa tersiksanya kanak-kanak yang diculik serta emosi keluarga terlibat. Jenayah memang sukar dihapuskan tetapi sekurang-kurangnya dapat diminimakan jika langkah pencegahan dan berhati-hati diambil. 

6.    Ingatlah! penjenayah hanya akan dapat melakukan jenayah apabila mendapat peluang, ruang dan nasib menyebelahinya. Sama-samalah kita membantu pasukan keselamatan mengurangkan kadar jenayah dengan cara yang termampu dan sedekah Al-Fatihah buat adik Nurin semoga rohnya sentiasa mendapat rahmat serta keberkatan dariNya.

"Jenayah Membawa Padah dan Cuai Mengundang Musibah."

No comments:

Post a Comment